Pengikut-pengikut

Wednesday, June 29, 2011

Tips Jimat Belanja Dapur

"Sesungguhnya orang yang membazir itu adalah saudara-saudara syaitan dan syaitan itu pula adalah mahkluk yang sangat kufur kepada Tuhannya."
(Surah Al-Israk: Ayat27)

Bajet dapur merupakan pelaburan yang tak dapat dielakkan saban bulan kerana makanan berkait rapat dengan kelangsungan hidup kita. Kenaikan harga barang pula menambahkan saham dalam bajet dapur sehari-harian. Selain Kempen Pengguna Bijak yang membawa mesej pengguna mempunyai pilihan untuk membeli barang keperluan harian atau menggunakan perkhidmatan, dan peniaga yang menjual pada harga yang tinggi tidak akan disokong. Kali ini, saya bawakan tips menjimatkan bajet dapur selangkah sebelum anda membeli.

1. Sumber makanan
Mengurangkan kebergantungan terhadap produk yang perlu dibeli dapat menjimatkan sebahagian besar belanja dapur. Bagi kebanyakan kawasan perumahan, menternak mungkin menjadi masalah tapi bukan bercucuk tanam. Apatah lagi pemakanan sayur-sayuran dan ulam-ulaman sebagai menu kegemaran rakyat Malaysia sangatlah menjimatkan sekiranya menu berasaskan bahan tersebut boleh didapati hanya di sekitar kawasan rumah. Selain itu, dengan menjana sendiri sumber makanan, kita mendapat hasil yang banyak dengan kos yang sedikit. Begitu juga kita dapat mengawal kualiti hasil tersebut.

2. Masak sendiri
Pernahkah anda menghitung banding harga makanan atau minuman di restoran? Segelas air limau ais berharga seringgit walhal sebiji limau berharga tidak sampai sepuluh sen. Selain menjimatkan kos upah, kita juga dapat mengawal pemilihan, penggunaan bahan-bahan dalam menu dan kebersihan dalam penyediaan makanan.

3. Diet harian
Penjimatan belanja dapur berkadar langsung dengan diet anda. Konsepnya, jika anda berlebih-lebihan dalam memakan, maka berlebihanlah perbelanjaan ke atasnya. Sebaiknya anda menjamah selera sebelum berasa lapar bagi mengelakkan anda tamak terhadap makanan. Elakkan juga memakan snek tidak berkhasiat kerana makanan ini biasanya mahal.

4. Ubah suai menu
Lebihan bahan masakan atau makanan jangan terus dibuang. Buat pemilihan bahan apa yang boleh digunakan semula. Baki reja sayuran dan tulang daging boleh direbus menjadi stok sup atau stew. Buah-buahan yang berbaki atau sudah berlebam boleh dijadikan jem buah. Nasi putih yang tidak habis dimakan pula boleh disimpan untuk dibuat nasi goreng.

5. Sisa makanan
Sisa makanan yang kita buang saban hari dapat ditukarkan dijadikan baja kompos. Baja buatan sendiri ini dapat mengurangkan belanja membeli baja bagi kebun kecil di rumah anda dan membantu menjaga alam sekitar. Tahukah anda kulit telur merupakan sumber kalsium bagi tumbuhan?

"Dan ingatlah tatkala Tuhan kamu memberitahu demi sesungguhnya jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu, dan demi sesungguhnya jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah berat."
(Surah Ibrahim: Ayat 7)

- Artikel iluvislam.com

1 comment:

  1. perrgghhh. cam tak leh caya, tuan tanah blog ni pn, makan berlebihan jugak tu. ngeh ngeh ngeh

    ReplyDelete