SINGAPURA - "Buat perubahan drastik pada bahagian pertahanan jika mahu layak ke peringkat seterusnya". Itu amaran Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin selepas Malaysia kalah 3-5 kepada Singapura kelmarin.
Jelasnya, jurulatih negara, Datuk K. Rajagobal harus melakukan perubahan drastik ekoran aksi buruk bahagian pertahanan pada perlawanan Kelayakan Piala Dunia di republik itu kelmarin.
"Pertahanan kita terlalu lemah dan banyak memberikan ruang kepada lawan terutamanya gol kelima Singapura melalui Aleksandar Duric. Ia menyerlahkan kegagalan pertahanan kita mengunci pemain lawan.
"Malahan dua gol padang yang diperolehi Singapura juga berpunca daripada barisan pertahanan yang tidak jitu dan tidak dapat membaca dengan baik gerakan bola pihak lawan.
"Jurulatih (Rajagobal) harus memperbaiki masalah bahagian pertahanan yang saya fikir semua orang sudah nampak semenjak perlawanan menentang Taiwan lagi. Itu pun nasib baik kita mampu mara atas peraturan gol di tempat lawan.
"Saya hanya lihat Safee Sali, Asraruddin Putra Omar dan S. Kunanlan sahaja beraksi cemerlang dalam perlawanan tersebut, " katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, semalam.
Bukan sekadar pertahanan, beliau juga mahu melihat penjaga gol utama kembali diisi Khairul Fahmi Che Mat, selepas Sharbinee melepaskan lima gol kepada lawan.
"Kalau boleh dalam perlawanan kedua di Stadium Nasional Bukit Jalil nanti saya berpendapat penjaga gol, Khairul Fahmi harus diletakkan sebagai penjaga gol utama.
"Dengan adanya Khairul Fahmi, saya fikir keyakinan pemain terutamanya di bahagian pertahanan mampu dipulihkan dalam usaha mencari kemenangan berharga di tempat sendiri, " katanya.
Hamidin juga menyeru para pemain skuad kebangsaan agar jangan lagi dibuai mimpi dengan kejayaan menjuarai Piala Suzuki AFF tahun lalu, kerana situasi berdepan dengan Singapura pada Kelayakan Piala Dunia adalah satu perkara yang berbeza.
"Kita tidak berjumpa dengan Singapura dalam perjalanan kita menjuarai Piala Suzuki AFF, jadi kita tidak boleh terlalu mendabik dada kononnya kita hebat dan boleh menewaskan mana-mana pasukan.
"Jadi, berikan fokus seratus peratus pada perlawanan kedua nanti , jangan hanya bersikap terlalu yakin, " jelasnya.
Begitupun, Hamidin tetap yakin Harimau Malaya pasti boleh menggegar di Stadium Nasional Bukit Jalil Khamis ini, jika semangat pemain tidak luntur dalam usaha menebus aib kalah kepada Singapura.
"Peluang mara masih ada, seandainya para pemain beraksi seperti mana yang telah mereka lakukan pada peringkat separuh akhir dan akhir Piala Suzuki AFF, saya rasa kita boleh layak ke pusingan seterusnya," katanya.
Buat masa ini, pertahanan negara yang dibarisi Mohd. Muslim Ahmad, Mohd. Fadhli Shas, Asraruddin Putra Omar dan Mahali Jasuli sementara Mohd. Aidil Zafuan direhatkan kerana mengalami kecederaan. Pilihan yang ada pada bahagian simpanan ialah Mohd. Rizal Fahmi Ab.Rosid, Azmi Muslim dan Helmi Remeli.
Rajagobal masih boleh memanggil beberapa pemain senior seperti Norhafiz Zamani Misbah dan S. Subramaniam untuk diserapkan dalam skuad sebagai pilihan terakhir.