KUALA LUMPUR – Kalah tapi ada peningkatan. Itu perwatakan yang dipamerkan skuad kebangsaan apabila tewas 3-6 kepada Liverpool dalam aksi persahabatan dalam Siri Jelajah Asia kelab itu di Stadium Nasional, semalam.
Walaupun kalah, pujian harus diberikan kepada skuad Datuk K. Rajagobal yang bangkit selepas ketinggalan 4-1 pada babak kedua untuk merapatkan jurang gol kepada 4-3.
Namun akibat kelalaian benteng pertahanan, Malaysia akhirnya terpaksa akur dengan kehebatan Liverpool, apabila melepaskan dua gol pada masa kecederaan.
Safee Sali paling mencuri tumpuan apabila menjaringkan dua gol dalam tempoh tiga minit selepas dimasukkan pada babak kedua.
Keupayaan meledak dua gol sewajarnya menjadi amaran kepada Singapura, apabila berdepan Malaysia pada kelayakan Piala Dunia 2014 pada 23 dan 28 Julai ini.
Aksi menarik semalam bermula dengan skrip yang sama ketika menentang Arsenal Rabu lalu berulang buat Harimau Malaya, apabila Liverpool mendahului hasil sepakan penalti pada minit ke-24.
Ia bermula apabila pemain pertahanan Fadhli Shas dipersalahkan kerana menjatuhkan Andy Carroll.
Namun, keputusan pengadil Nagor Amir Noor Mohamed memberikan penalti mencetuskan kontroversi kerana Carroll yang melanggar Fadhli.
Pemain yang baru dibeli Liverpool, Charlie Adam mudah menyempurnakan penalti, walaupun sepakan pertamanya dibatalkan
Ketinggalan satu gol tidak melenyapkan semangat pemain negara sebaliknya bangkit mengikat kedudukan apabila ketua pasukan, Safiq Rahim menggegar jaring lawan dengan gol menarik hasil sepakan bebas.
Ia seakan-akan menjadi tradisi buat Safiq apabila sebelum ini menjaringkan gol yang hampir sama iaitu pada perlawanan kelayakan Piala Dunia 2014 pusingan pertama menentang Taiwan, di mana Malaysia menang hasil kelebihan gol di tempat lawan.
Liverpool akhirnya membuktikan kehebatan sebenar, ditambah dengan kelalaian pertahanan Fadhli dan Muslim Ahmad, apabila menjaringkan gol pada minit ke-64 dan 65 melalui David Ngog untuk menjadikan kedudukan 3-1.
The Reds menambah jaringan keempat pada minit ke-74, melalui Maxi Rodriguez namun seperti harimau luka, Malaysia berjaya merapatkan jurang 4-3 hasil kehebatan Safee, yang tenang memperdayakan benteng pertahanan Liverpool.
Hajat untuk Harimau Malaya menjaringkan gol penyamaan berkecai apabila kelalaian pertahanan Malaysia membolehkan Rodriguez dan Dirk Kuyt menambah gol Liverpool pada masa kecederaan.
No comments:
Post a Comment