KUALA LUMPUR, 9 Julai (Bernama) -- Perhimpunan haram di ibu negara Sabtu, yang kononnya bagi menuntut sistem pilihan raya yang bersih dan adil, bertukar menjadi medan memperjuangkan agenda politik pihak tertentu, demikian menurut penganalisis politik.
Mereka berkata ini kerana laungan 'reformasi' yang popular ketika demonstrasi jalanan 1998 pimpinan ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, kini dilaungkan kembali.
Profesor Datuk Dr Zainal Kling dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) berkata perhimpunan itu sepatutnya disertai badan bukan kerajaan (NGO), tetapi sebaliknya jelas mempunyai agenda politik pihak tertentu.
Turut kedengaran laungan sentimen politik anti-kerajaan seperti "hancur Barisan Nasional" di beberapa lokasi seperti Masjid Negara, Masjid Jamek, Puduraya, KLCC dan Stadium Merdeka.
Sebelum ini, penganjur perhimpunan mengemukakan lapan tuntutan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) iaitu membersihkan senarai undi, mereformasi undi pos, menggunakan dakwat kekal, akses media yang bebas dan adil, tempoh kempen minimum 21 hari, memperkukuh institusi awam, menghentikan rasuah serta menghentikan politik kotor.
Selain itu, kanak-kanak dan warga emas seolah-seolah dipergunakan apabila turut diheret ke perhimpunan tersebut serta terikut-ikut melaungkan slogan berbaur politik.
Timbalan Dekan Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM) Profesor Madya Dr Sivamurugan Pandian berkata perhimpunan haram itu jelas didalangi pemimpin pembangkang yang mahu mencari populariti untuk kepentingan politik.
Beliau berkata sebenarnya pemimpin pembangkang berkenaan yang lebih beria-ria mahu mengadakan perhimpunan itu.
"Tuntutan kononnya mahu pilihan raya bersih dan adil hanya digunakan sebagai alat, dan akhirnya tujuan asal perhimpunan itu terpesong ke arah politik," katanya.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment